IKAN SEMBILANG: KHASIAT DAN RESIPI GULAI ASAMRONG
Ikan Sembilang atau di Raub dikenali sebagai Ikan Kalang hidup di paya atau danau secara liar dan dagingnya kenyal berwarna kekuningan. Ikan Sembilang atau Ikan Kalang memang banyak khasiatnya. Pada daging ikan kalang terdapat Omega3 dan Omega6 dan sama khasiat dengan Ikan Patin. Minyak ikan ini mempunyai asid lemak omega-3 yang tinggi datang daripada sumber makanan ikan iaitu "fitoplankton". Asid lemak omega-3 banyak terdapat dalam minyak walnut, plankton marin dan ikan yang berlemak. Komponen utama minyak walnut adalah asid a-linoleik (ALA), sementara asid lemak yang terdapat dalam Ikan Sembilang berlemak dan minyak ikan adalah EPA dan DHA. Manakala minyak sayuran pula kadar asid lemak omega-6 yang tinggi seperti minyak jagung dan minyak soya yang mengandungi asid linoleik (LA) yang banyak. Dalam tubuh manusia ALA ini boleh ditukarkan kepada EPA dan DHA, walau bagaimanapun, proses penukaran ini kurang berkesan pada bayi dan orang tua.
Apakah Asid Lemak Omega 3
Terdapat tiga komponen utama asid lemak omega-3 iaitu:-
1) Asid O-Linolek (ALA)
2) Asid Eicopentaenoik (EPA)
3) Asid Dokosoheksonoik (DHA)
Asid lemak terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:-
1) Tepu (saturated)
2) Tidak Tepu (unsaturated)
Kebaikan Asid Lemak Omega-3 Terhadap Kesihatan Manusia. Antara kebaikan asid lemak omega-3 (EPA & DHA) kepada kesihatan manusia, selain mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung adalah:-
-Meningkatkan tahap penglihatan dan sistem saraf pusat bagi fetus dan bayi
-Memulihkan radang seterusnya mengurangkan risiko artheroskleriosis
-Mengurangkan kadar bengkak pada sendi bagi pesakit rheumatoid arthritis
-Mengurangkan simptom psoriasis (sejenis penyakit kulit yang kronik)
-Mengurangkan kadar kematian bagi pesakit buah pinggang
-Mengurangkan tahap mikroalbuminuria bagi pesakit kencing manis yang bergantung pada insulin
-Meningkatkan fleksibiliti membran dan menggalakkan fungsi biologi
-Melambatkan proses penuaan dan penyakit autoimmum yang berkaitan dengan usia
-Menggalakkan kecerdasan fikiran
Berikut adalah resipi untuk memasak Ikan Sembilan atau Ikan Kalang ini dengan Asam rong Buah Perah.
GULAI ASAMRONG IKAN SEMBILAN ATAU KALANG
Memasak Gulai Asam Rong Ikan Sembilang atau Ikan Kalang perlu dicampur dengan terung pipit, pucuk paku, pucuk ubi kerinting dan pucuk betik.
Inilah kepandaian Orang rawa di Raub. Asam rong diperbuat daripada buah perah yang dijemur sehingga kering dan di tumbuk serta diperam selama lebih kurang satu bulan. Ia dimasak bersama bahan-bahan tertentu seperti pucuk paku, keledek, buah jambal, daun jambal, terung pipit, terung telunjuk, daun cemomok, keladi dan kacang botol. Kunyit hidup pula ditumbuk bersama cili padi bagi menambah rasa pedasnya. Masakan ini hanya boleh ditemui di kawasan Raub, Lipis dan Jerantut dan amat terkenal di sebelah Batu Malim, Raub. Ia menjadi makanan yang amat digemari bagi penduduk di sana, malahan kini ia semakin terkenal di kalangan pelancong yang berkunjung ke Lata Lembek, Ulu Sungai, Batu Malim dan Batu Talam.
Resipi Masak Gulai Asam rong Ikan Sembilang atau Ikan Kalang. Bahan-bahannya :
1. 1 senduk asam rong atau secukupnya.
2. 4 ekor ikan sembilang (ikan kalang) . Anggaran dalam 1 kilo.
3. 1 inci kunyit hidup
4. 1 ikat daun kesum
5. 1 ikat pucuk paku
6. 1 ikat pucuk ubi kerinting
7. 3 kuntum bunga kantan
8. 20 biji cili padi. Ikut rasa. Lagi pedas lagi sedap
9. 1 biji keledek. Sedang-sedang besarnya.
10. Terung pipit, terung telunjuk, daun cemomok, keladi dan kacang botol. Ikut suka masing-masing. ( Kalau tak gemar tak payah bubuh ).
11. Garam secukup rasa
12. Kalau ada isi petai ke, jering semai ke, boleh masukkan untuk menambah keenakkannya
13. Air secukupnya
Cara-cara2 membuatnya :
1. Tumbuk kunyit, lada dan asam rong tadi
2. Masuk dalam periuk campur terus dengan ikan dan kacau bagi rata
3. Kemudian masukkan air bersama daun kesum dan biarkan seketika.
4. Kacau perlahan menggunakan api sederhana kecil.
5. Apabila ikan masak, masukkan pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol dan bubuh garam secukupnya.
6. Biarkan masak seketika dan angkat.
Hidangkan dengan nasi panas.
Sedap papaleh,
weh.
Lagi pedas lagi sedap.
Pergggghh .....
belum cuba belum tau.