------------------------ February 2014 ~ Sakura Padang Pasir

http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/

This theme is Bloggerized by Sakura Padang Pasir - http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/.

http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/

This theme is Bloggerized by Sakura Padang Pasir - http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/.

http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/

This theme is Bloggerized by Sakura Padang Pasir - http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/.

http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/

This theme is Bloggerized by Sakura Padang Pasir - http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/.

http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/

This theme is Bloggerized by Sakura Padang Pasir - http://sakurapadangpasir121.blogspot.com/.

MACAMANA NAK KUSYUK?




MACAMANA NAK KUSYUK?



Tuan, boleh tolong beritahu cara bagaimana nak kusyuk dalam solat? Banyak pendapat sudah saya tanya, tapi tak satu betul2 boleh mendekatkan saya kepada kusyuk. Boleh tuan beri pendapat?


PENDAPAT :


Sebelum tahu Kusyuk ‘di dalam solat’, ada baiknya kita tahu dulu Kusyuk ‘di luar solat’. Pengalaman kusyuk di luar solat itu kemudiannya boleh diadaptasikan ke dalam solat, bila diri semakin memahami dan semakin mengenal. Fahami juga maksud perkataan SOLAT agar kita sama-sama lebih mengerti.

Mendapat Kusyuk bukan perkara mudah. Ianya perlu latihan yang berterusan dan kemahuan yang kuat. Kemahuan yang kuat ini lahir dari RASA cinta yang mendalam kepada Kekasih.

Umpama di waktu kita bercinta, RASA cinta kepada kekasih yang amat mendalam itu menyebabkan kita sentiasa rindu, kemaruk dan angau mengingati kekasih hati hingga lupa kepada segala sesuatu yang lain. Angau itu menyebabkan, bila kita dipanggil berulang kali pun, telinga tak juga mendengar! Bila mertua lalu depan mata, pun boleh jadi tak perasan. Ada lauk yang baunya semerbak enak, pun juga tidak terbau. 

Segalanya asyik lagi masyuk! Itulah penangan ‘KUSYUK’ kepada Kekasih!

Justeru itu, untuk mendapatkan Kusyuk, kita perlu hadirkan RASA cinta itu terlebih dahulu. Untuk menghadirkan RASA cinta, kita perlu bercinta ! Dalam bercinta, kita perlu KENAL kekasih yang kita cinta. Bila KENAL kekasih yang dicintai, zahir dan batin, barulah lahirnya IKHLAS dalam percintaan. Bila Ikhlas, itulah Cinta Abadi !

Makanya, untuk mendapat Cinta Abadi, kita perlu terlebih dahulu mencari dan mengenal Kekasih Abadi. Jalan mengenal kepada Kekasih Abadi itu adalah dengan belajar ‘Mengenal Diri’ sendiri. (Awalludin makrifatullah).

Diri yang dimaksudkan itu adalah ‘DIRI BATIN’. Diri Batin itu terdiri daripada 2 elemen iaitu AKAL yang menzahirkan FIKIR-an (intellectual) dan HATI (Roh) yang menzahirkan PE-RASA-AN (feeling).

Tugas Akal membuat Pertimbangan. Untuk membuat pertimbangan ia perlu KUSYUK. Tanpa kusyuk, akal tidak mampu membuat pertimbangan yang baik. Pertimbangan itu kemudiannya dizahirkan ke hati. Pertimbangan yang baik oleh akal, akan menzahirkan perasaan yang baik oleh hati dan hati menzahirkan perasaan yang baik itu kepada ORGAN TINDAKAN yang LIMA yang ada pada jasad. Perasaan yang baik itu kemudianya akan ditukar kepada Perlakuan yang baik oleh tubuh fizikal. Perlakuan yang baik lagi mulia inilah namanya IHSAN.

Maka bila dirujuk kembali, Ihsan itu, asalnya, dari Kusyuk nya AKAL !

Pertimbangan Akal yang buruk pula, akan dizahirkan oleh perasaan yang buruk oleh hati dan hati menzahirkan perlakuan buruk itu pada ORGAN TINDAKAN yang LIMA. Perlakuan buruk lagi hina itu dikatakan ‘ TIADA IHSAN’.

Justeru itu, KUSYUK adalah sangat-sangat penting untuk mendapatkan IHSAN ! Dari Ihsan inilah, timbulnya Tasdiq (membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan perbuatan) yang menjadi tonggaknya IMAN.

Iman itu pula tiangnya ISLAM dan Islam itu bermakna SELAMAT.

Bila KUSYUK maka, SELAMAT lah kita dunia dan akhirat !

Tidak Kusyuk tanda Tidak Selamat !

Kesimpulannya, Kusyuk itu sangat penting dan kita perlu benar-benar berusaha bagi mendapatkannya !


APA ITU KUSYUK?


Kusyuk itu adalah ‘hal keadaan yang lupa kepada segala sesuatu’.

Bila lupa kepada segala sesuatu, inilah yang diumpamakan seperti ‘Mati Sebelum Mati’.

Justeru itu, marilah kita sama-sama mencari PENGETAHUAN (teori) tentang Kusyuk dan tukarkanlah pengetahuan itu menjadi ILMU (praktikal) dengan melakukan TINDAKAN (action) untuk mencapainya.

Berikut adalah beberapa kaedah LATIHAN mencari kusyuk yang mungkin boleh dipraktikkan. Kaedah ini mungkin berkesan kepada seseorang dan juga mungkin tidak berkesan langsung kepada seseorang yang lain. Ianya CUMA sekadar KAEDAH latihan fizikal ke atas Deria PENGAMATAN yang 5 dan Organ TINDAKAN yang 5.


LATIHAN UNTUK MENCAPAI KUSYUK :

1. Latihan Konsentrasi

Lakukan Latihan Konsentrasi atau Fokus.


Sebelum latihan dimulakan, pastikan kita telah buang air besar atau air kecil terlebih dahulu dan bersihkan alat kumuh dan alat kelamin sebelum melakukan latihan agar latihan tidak terganggu.

Latihan kosentrasi ini memerlukan kita untuk fokus membuang atau melupakan semua kerja deria PENGAMATAN (telinga, mata, hidung, lidah dan kulit) dan organ TINDAKAN (tangan, kaki, mulut, alat kelamin dan alat kumuh). Melupakan bermaksud, jangan difikirkan langsung segala bunyi, segala penglihatan, segala bau, segala rasa mahupun segala sentuhan semasa proses latihan.

Contoh, jika hidung (deria pengamatan) terbau sesuatu semasa latihan konsentrasi, buang atau lupakan bau itu. Jika telinga terdengar atau mata terlihat sesuatu, latih diri untuk lupakan penglihatan dan pendengaran itu. Jika tangan digigit nyamuk, belajar untuk buang rasa gatal itu dengan cara tidak memikirkannya.

Bila segalanya dilupakan, maka deria BATIN : Akal dan Hati, akan masuk ke ‘mode’ automatik. (peranan diambil alih oleh Alam Bawah Sedar/Sub Concious Mind).

Bila deria Batin berada di dalam ‘mode auto’ semua deria PENGAMATAN dan organ TINDAKAN juga akan turut bertukar ke mode auto. Keadaan Auto Mode inilah yang dikatakan 'Lupa dalam Ingat' atau 'Ingat dalam Lupa' kerana di saat kita telah melupakan segala sesuatu, ke-lupa-an itu akan tertumpu kepada suatu dimensi. Dimensi itulah yang dinamakan INGATAN.

Dalam mode auto ini, diri SEPERTI berada pada suatu ‘alam kosong’. 
Dalam penglihatan, ‘alam kosong’ ini kelihatannya SEPERTI suatu ruang yang dipenuhi dengan warna ultra violet (warna unggu cerah). Dalam pendengaran pula, tiada apa yang didengar melainkan SEPERTI bunyi ‘desingan’ perlahan yang berpanjangan (Binaural).

Berada di alam kosong ini membolehkan tubuh jasad kita berada di dalam keadaan rileks. Di dalam ‘alam kosong’ inilah ‘Alam Bawah Sedar’ (Sub Concious Mind) akan memainkan peranannya mengawal jasad secara ‘mode automatik’. Segala pergerakan jasad akan berlaku dengan sendirinya tanpa dikawal. (umpama pesawat auto pilot).

Maka tujuan latihan konsentrasi ini adalah untuk menukarkan fungsi jasad dari ‘Manual Mode’ kepada ‘Semi Auto Mode’ dan akhirnya kepada ‘Fully Auto Mode’


FOKUS


Fokus itu memerlukan oksigen yang banyak di otak. Justeru itu belajar dapatkan oksigen dengan melakukan latihan pernafasan (zikir nafas) yang sempurna. Belajar tarik nafas (inhale) setinggi tingginya menggunakan paru-paru (bukan guna perut) kemudian berhenti untuk seketika ( dalam detik 7 saat) dan hembus nafas (exhale) perlahan-lahan serendah rendah-rendahnya hingga paru-paru berasa kosong. Lakukan latihan pernafasan ini berulang kali pada setiap waktu dan setiap ketika, baik di dalam jaga mahu pun di dalam tidur. Latihan pernafasan yang betul akan membolehkan oksigen yang mencukupi dibekalkan ke dalam ‘PINEAL GLAND’ atau Kelenjar Pineal.

Otak yang kurang menerima bekalan oksigen akan menyebabkan “PINEAL GLAND” di dalam otak kurang aktif . Pineal Gland dianggap sebagi Ibu segala Kelenjar. Ia adalah satu kelenjar kecil, bersaiz sebesar beras dan terletak di tengah-tengah zon otak. Kelenjar ini terdiri daripada sel-sel neuron yang amat peka kepada cahaya (Nur). Ia digelar juga sebagai ‘mata ketiga’ kerana fungsinya seakan-akan organ mata yang mampu melihat imaginasi batin. Banyak kepercayaan mengatakan, di sinilah tahta tempat bersemayamnya ‘Sub Concious Mind’ atau Minda Bawah Sedar manusia.

Kekurangan oksigen pada ibu segala kelenjar ini boleh menggangu tugas-tugas kelenjar-kelenjar lain di dalam badan. Akibatnya tubuh akan mudah terkena pelbagai penyakit, seperti migrain, asma, masalah penglihatan, masalah jantung dan pelbagai lagi masalah penyakit di dalam badan, termasuk resdung yang menyebabkan nafas tersekat-sekat dan hidung tersumbat. Gejala ini boleh mengganggu proses kosentrasi dan akhirnya kita sukar untuk Kusyuk.


Untuk dapatkan lebih oksigen kita perlu :

2. Makan sedikit tapi berkhasiat :


Makan banyak menyebabkan tubuh fizikal terpaksa bekerja kuat untuk menghadamkan makanan. Penghadaman memerlukan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida. Pengeluaran karbon dioksida yang banyak akan menyerap ‘chi’ atau ‘prana’ atau ‘lung’ atau ‘ruah’ atau ‘vital energy’ atau ‘tenaga dalaman’ dari minda.

Minda akhirnya lemah kerana kehilangan tenaga yang perlu disalirkan kepada jasad untuk proses penghadaman. Tenaga Minda yang lemah, menyebabkan jasad jadi malas melakukan pergerakan dan otak jadi malas berfikir. Keadaan ini akan menyebabkan sukarnya untuk melakukan konsentrasi dan akhirnya menyukarkan kyusuk.

Kerana itulah para arifbillah, para sufi, Saint, Yogi, Sadhu, Rabbis, atau Sami, semuanya mengamalkan pengambilan makanan yang sedikit tetapi berkhasiat supaya ‘Pineal Gland’ yang ada di tengah-tengah otak itu sihat. Pineal Gland yang sihat dapat mengelakkan keletihan jasad dan minda dan ini akan mengaktifkan deria batin yang dua itu (akal dan hati).

Kerana itu juga lah, puak-puak ‘Kapitalis’ yang tamak, sanggup mencipta pelbagai makanan kesihatan ‘yang kononnya sihat’, dari benih Genetically Modified Organism (Organisma Terubah suai Genetik/GMO), semata-mata untuk melemahkan fungsi Pineal Gland manusia. Racun yang paling kerap kita gunakan untuk membunuh Ibu segala Kelenjar di dalam otak kita ini ialah; FLORIDE yang ada di dalam kebanyakan ubat gigi yang kita gunakan.

Bila kuasa minda manusia dapat dikawal, maka mereka yang berkepentingan, boleh mengawal dan menguasai dunia !!


3. SENAMAN


Badan kita menyimpan tenaga untuk digunakan bila perlu. Namun, tenaga yang tidak digunakan akan menyebabkan ianya ditukar menjadi lemak. Lemak menghalang darah dari mendapat bekalan oksigen yang secukupnya di dalam badan, terutamanya Pineal Gland di otak.

Justeru itu, senaman adalah sangat-sangat diperlukan untuk membakar lemak dan membolehkan sel-sel tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan melalui darah yang menerima oksigen. Kerana itu juga para arifbillah, para sufi, Saint, Yogi, Sadhu, Rabbis, atau Sami itu, sering berpuasa dan sering melakukan gerakan jasmani seperti berjalan kaki, untuk mendapatkan ‘kuasa maksimum’ alam minda.

Dek kerana sering berpuasa, jasad mereka tidak memerlukan banyak oksigen untuk mencerna makanan di dalam badan. Oksigen, yang ada digunakan sepenuhnya untuk fungsi tubuh. Justeru itu jasad mereka itu sentiasa kurus. Mereka menghidarkan banyak makan untuk mengelak badan menjadi gemuk dan buncit.

Gemuk dan buncit, tanda tubuh zahir tidak harmoni dengan tubuh batin ! Bila tidak harmoni, itu tanda sukar KUSYUK !


4. MINUM AIR SECUKUPNYA

Air itu bersifat menyucikan. Air yang bersih juga mengandungi banyak oksigen. Pengkaji Air terkenal dari Institut Hado, Jepun, Dr. Matsaru Emoto mendapati, air yang dibacakan kalimat-kalimat IHSAN yang positif ke atasnya, akan membentuk corak ‘snowflake’ air yang berwarna-warni dan cantik . Jika diminum, ianya mampu merangsangkan pertumbuhan sel. Maka sentiasa lebihkan minum air putih berbanding makan kerana air dapat membersihkan badan dari toksin. Kerana itu jugalah air digunakan dengan meluas untuk tujuan perubatan samada perubatan moden ataupun perubatan tradisional.


5. RIADAH DI TEMPAT-TEMPAT HIJAU


Sentiasa cari masa untuk keluar beriadah ke tempat-tempat yang hijau seperti di hutan air terjun, di taman atau di dusun atau di kebun. Semasa di tempat ini, lakukan ‘khalwat’ atau bertafakurlah dengan alam dengan mempraktikkan latihan kosentrasi dan fokus. Di tempat-tempat begini mempunyai ion negatif yang mengandungi banyak oksigen, terutamanya di hutan air terjun.


6. BELAJAR KONSENTRASI DENGAN MENGGUNAKAN 

‘BINAURAL BEATS’


Binaural Beats adalah satu sistem bunyi berfrekuensi rendah yang mirip ‘bunyi desingan’ pada telinga. Ianya dicipta saintis untuk tujuan merehatkan minda bagi membolehkan diri fokus kepada sesuatu. Muzik-muzik yang berirama perlahan, juga mampu merangsang aktiviti positif minda dan membuatkan jasad tenang.

Kerana itu ‘hymn’ (nyanyian atau sebutan kalimat-kalimat tertentu yang perlahan/bertasbih) yang digunakan dalam pelbagai agama seperti Ya Rabb, Ohm, Ram, Yid dan lain-lain banyak digunakan dalam perjalan spiritual seseorang untuk membolehkan mereka fokus dan mendapat kusyuk.

Irama muzik klasik dan retro terdahulu amat mendamaikan telinga orang yang mendengarkannya. Namun genre muzik itu kian terpinggir dan digantikan dengan genre irama terkini seperti funk, techno, heavy metal, shoegazer, indie, hip-hop dan pelbagai lagi. Genre ini sengaja dicipta dengan gelombang bunyi (wave sound) yang membingitkan. Gelombang yang membingitkan ini, jika diperdengarkan dengan tempoh yang lama dan berterusan mampu membuatkan minda ‘kacau’ dan tidak tenteram. Minda manusia yang ‘kacau’ mudah dikawal oleh Syaitan. Syaitan itulah yang dizahirkan pada diri-diri manusia yang sering membelakangkan TuhanNya.

Gunakan Binaural Beats ini sebagai alat latihan awal untuk belajar ‘ konsentrasi’. Ia mudah didapati di YouTube.


KESIMPULANNYA


Kaedah latihan ini adalah di antara pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai Kusyuk. Terdapat 

pelbagai lagi kaedah-kaedah latihan lain yang boleh digunakan dalam mencapai Kusyuk. 

Namun, walau apapun kaedahnya, ianya tidak akan mendatangkan sebarang makna jika kita TIDAK BERTINDAK ! 

(ACTION)

Maka bertindaklah, mulakanlah dan bergeraklah. Cukup-cukuplah kita menuding jari mencari kesalahan orang. 

Cukup-cukuplah kita berteori dan megah dengan bahasa kata-kata.

Ayuh, kita terokai KUSYUK alam diri dengan bahasa RASA !


Maka, Bertindaklah !



~SPP~


KUSYUK.




KUSYUK.

Kusyuk 
Bukan ingat pada ingatan
Kusyuk 
Melupakan segala ingatan
Kusyuk
ingat yang lupa
Kusyuk
lupa yang mengingatkan

Dalam Kusyuk
Aku terbang keluar sangkar
menuju tujuh negara
mencari Pemilik Kuasa

Dalam Kusyuk
Aku jaga
Dalam Kusyuk
Aku bersuara
Dalam Kusyuk
Aku Kenal Dia

Katanya
Akulah Raja !



~SPP~



RENUNGAN




RENUNGAN : 1



Siapa itu Muhammad?

Sebelum kita kenal Muhammad, kita kenal dulu siapa yang mencipta Muhammad.

“Allah” adalah Tuhan yang mencipta Muhammad !

“Allah” yang mencipta Muhammad ini adalah “HAKIKAT PENCIPTA” atau “Zat Yang Disembah” yang menzahirkan

 DiriNya dengan nama panggilan “Allah”.

Namun, sebelum Allah itu bernama Allah, HAKIKAT PENCIPTA itu adalah Zat yang tiada bernama, Zat yang tidak dapat dirasa, tidak dapat disentuh, tidak dapat difikirkan, tidak boleh dikaji dan tidak boleh diumpamakan dengan apa jua sekalipun, malah perkataan “Zat” itupun bersalahan untuk merujuk kepada Nya kerana HAKIKAT PENCIPTA yang dinamakan Allah itu Tiada Zat ! Tiada zat bermaksud, Dia bukan berasal dari sesuatu, sebaliknya setiap sesuatu, itu berasal dariNya.

HAKIKAT PENCIPTA itu bukan Jirim, bukan Jisim, bukan Jauhar, bukan Jauhar Murakkab, bukan Jauhar Firid, bukan Aradh, dan termasuk bukan Zat ! 

Zat itu hanya satu Perkataan Tertinggi yang kita digunakan sebagai memudah faham untuk menunjukkan Maha 

HebatNya Dia.

HAKIKAT PENCIPTA inilah yang di dalam bahasa Arabnya dipanggil “Al-Ahadu” (AHAD/Esa). AHAD itu adalah perkataan yang menunjukkan perihal “Ahadiah Zat” atau “Zat Tunggal Yang Maha Esa”.



Apa itu Ahadiah Zat?

Ahadiah Zat itu bermaksud;

Hal keadaan yang berkaitan HAKIKAT PENCIPTA semata-mata atau “HANYA Zat semata-mata” iaitu Zat Mutlak yang masih “kosong”, yang belum ada NAMA dan belum dipanggil dengan sesuatu nama sekalipun.

Belum ada NAMA. Belum ada SIFAT, belum ada AF’AL (perbuatan) dan belum ada ZAT.

HAKIKAT PENCIPTA yang masih “Kosong” (ghaibul guyub/non extant) inilah yang dikatakan AHAD (Esa/Oneness). Ahad yang “kosong” yang tidak wujud segala sesuatu pun (ghaib al-huwiyat/self non extant) melainkan HAKIKAT PENCIPTA itu sendiri

HAKIKAT PENCIPTA itu adalah Zat Mutlak (wajibul wujud/ultimate reality) atau saripati zat yang paling tunggal (kunhi zat/inner self reality) yang kosong, tidak bercampur dan suci daripada segala sesuatu, suci dari segala fikiran, suci dari segala batin dan zahir ! Saripati zat yang kelu hati untuk merasaiNya. Kelu akal untuk memikirkan. Kelu lidah untuk berkata. Kelu mata untuk menzahirkan penglihatan dan kelu segala sesuatu untuk mengenalNya !

“Zaman kosong yang kelu segalanya ini” digelar oleh Hamzah Fanshuri dengan gelaran “La Taayun” (belum ditentukan/non determination). “Hakikat Pencipta” ini SEUMPAMA berada di dalam “dunia-Nya yang tersendiri” (metafora/perlambangan sahaja) yang suci, yang sunyi senyap tiada kenyataan melainkan kenyataan DiriNya sendiri.

“Dunia-Nya yang tersendiri” ini dinamakan:

“Hakikat Ahadiatul Makbud” atau AHADIAH/ Hakikat ESA Yang Maha Tunggal /The Reality of Oneness



RENUNGAN: 2



HAKIKAT PENCIPTA itu Maha Suci, Maha Tinggi, Maha Besar dan Maha Tunggal. Tidak ada segala sesuatupun yang dapat mengenal diriNya melainkan diriNya sendiri. Disebabkan HAKIKAT PENCIPTA yang tidak boleh difikir, dilihat atau disebut itu, maka adalah mustahil bagi makhluk untuk mengenali diriNya.

Oleh kerana HAKIKAT PENCIPTA itu “menginginkan diriNya dikenali”, maka HAKIKAT PENCIPTA itu memperkenalkanlah diriNya melalui penzahiran “ BENIH ILMU-NYA” . Benih ilmu ini sudah lengkap dengan segala unsur NAMA, SIFAT, AF’AL DAN ZAT (umpama DNA) cuma ilmunya belum tumbuh atau belum dinampakkan-Nya sahaja. Semuanya masih terbungkus di dalam DNA BENIH.

Benih Ilmu ini adalah ibarat “Cahaya” atau “Nur” . Nur inilah yang BAKAL “menumbuhkan” atau “menzahirkan” akan HAKIKAT PENCIPTA.

Walaubagaimanapun, Nur bukan HAKIKAT PENCIPTA dan HAKIKAT PENCIPTA bukan Nur. HAKIKAT PENCIPTA itu, masih TETAP pada hakikat diri-Nya yang mutlak. Namun, bila memperkatakan tentang Nur, tiada lain yang diperkatakan melainkan hal HAKIKAT PENCIPTA yang AHAD itu juga !

Pada peringkat ini, Benih ilmu (Nur) belum boleh “menumbuhkan” atau menzahirkan HAKIKAT PENCIPTA kerana Nur itu masih berada di dalam:

“Hakikat Wahdah al-Makbut” atau WAHDAH / Wujud Bersendirian / Individuation.

Benih itu masih disimpan oleh HAKIKAT PENCIPTA dan belum dikeluarkan dari hakikat diriNya. Bagi memudahkan faham, bolehlah di-UMPAMA-kan peringkat ini sebagai peringkat : “IDEAS OF PROTOTYPE’ yang bermaksud;

Si-Pencipta mempunyai IDEA yang menyeluruh yang lengkap dan mengetahui secara terperinci tentang prototype yang hendak diciptanya tetapi IDEA ini hanya di dalam mindanya dan masih belum dilukiskan ke atas kertas.

IDEA yang belum dilakarkan diatas kertas inilah diibaratkan sebagai “Benih Ilmu/Nur” yang belum tumbuh (naqtu ghaib). Inilah yang menjadi CIPTAAN PERTAMA (takyun awal) oleh HAKIKAT PENCIPTA!

Benih Ilmu/Nur inilah yang kita kenali dengan pelbagai nama seperti : “Nur Muhammad”, “Hakikat Muhammad”, “Ahmad”, “Roh Kudus”, “Cahaya Tuhan”, “Penzahiran Tuhan”, “Hakikat Syahadah”, “Cahaya Pertama”, Cahaya di atas Cahaya” dan pelbagai nama lagi.

Ciptaan pertama inilah Ibarat DNA BENIH ASAL yang akan menghidupkan setiap diri makhluk. Semua “prototype” telah siap dijadikan cukup dengan segala nama, sifat, perbuatan dan zatnya, cuma ianya masih terbungkus di dalam “DNA” dan belum dizahirkan.

Nur inilah yang bakal menampakkan kepada makhluk akan penzahiran HAKIKAT PENCIPTA. Melalui Nur inilah, nantinya, seluruh makhluk dapat mengenali diri-Nya melalui “pantulan” atau “penzahiran” cahaya ilmu-Nya.



RENUNGAN : 3


PERUMPAMAAN

Sekarang adalah masanya untuk Si Pencipta, mengeluarkan segala IDEA daripada minda dan melakarkannya di atas kertas, lalu proses membukukan segala maklumat (af’al ta’yun tsani) yang berada di dalam “DNA BENIH” (semasa di peringkat wahdah) pun bermula.

Proses mendokumenkan IDEA ini adalah bertujuan untuk dijadikan “Blueprint” atau “Pelan Induk”. Dalam bahasa Arab Pelan Induk ini dinamakan Luh Mahfuz. Segala idea dan maklumat berkaitan prototype makhluk yang telah ada dalam minda (semasa peringkat wahdah) akan dikeluarkan, disusun, ditulis dan dibukukan dalam satu “Pelan Induk” (kitab induk yang nyata).

Pelan induk ini mengandungi keseluruhan maklumat batin dan zahir perihal “prototype makhluk” yang dicipta. Bermula daripada proses cetusan idea, membukukan idea, penyelidikan, pemilihan bahan mentah, pembuatan, pemasangan, pengeluaran, pembungkusan, penghantaran, penggunaan hingga ke proses pelupusan (samada recycle atau lupus terus) akan direkodkan di dalam Pelan Induk ini.

Segala apa yang bakal berlaku ke atas makhluk samada sebelum makhluk itu dikeluarkan (batin) atau semasa makhluk itu hidup (zahir) atau selepas makhluk itu mati (batin), telah pun ditulis di dalam software (ROH).
Software itu pula telah ditulis dengan sistem pengaturcaraan yang dinamakan “Qadha Qadhar”.

Setiap makhluk yang dicipta, akan sertakan dengan SATU SOFTWARE (ROH) yang sama. Software ini dicipta oleh Si Pencipta mengikut kehendak-Nya sendiri. Apa saja yang bakal terjadi atau yang bakal dilakukan oleh makhluk samada di alam batin atau zahir semuanya tertakluk kepada software ini.

Contoh :

Apa jenis makhluk, alam mana tempatnya, bila makhluk itu akan lahir, siapa namanya, apa sifatnya, apa perbuatannya, apa sumber kejadiannya, apa ilmunya, apa darjatnya, siapa keturunannya, apa sakitnya, apa baik dan buruknya, bila matinya, apa seksanya, apa nikmatnya dan segala-galanya perihal hidup batin dan zahir makluk itu telah ditulis di dalam software (ROH) ini lengkap dengan kod sistem pengaturcaraan jenama “Qadha Qadhar”.

Setiap makhluk mempunyai software yang sama dari Pencipta yang sama TETAPI, software bagi setiap satu makhluk ini, ditulis dengan kod sistem pengaturcaraan yang berlainan. Kod yang berlainan inilah yang memberikan ciri-ciri istimewa kepada setiap makhluk dan inilah yang membezakan setiap satu makhluk dengan makhluk yang lainnya.

Tanpa software (ROH), diri makhluk tidak akan berfungsi !

Peringkat membukukan “Pelan Induk” atau Blueprint ini dinamakan :

HAKIKAT WAHIDIAH-AL MAKBUD / WAHIDIAH/ Hakikat Pemewujudan Diri/ Individuation Attribute

Pada peringkat ini “Pelan Induk” itu telah merekodkan segala butir-butir yang amat terperinci perihal kehidupan makhluk. Segala butiran seperti NAMA, SIFAT, KELAKUAN DAN ZAT telahpun siap ditulis dan dibukukan di sini. Sistem pengaturcaraan yang dinamakan “Qadha Qadhar” itu pula telah ditulis dengan begitu teliti, lengkap dan sempurna termasuk aspek teknikal yang berkaitan Hukum Sebab dan Akibat.

Maka di dalam Pelan Induk itu 'ditulislah' (perlambangan) oleh HAKIKAT PENCIPTA bahawa nama-Nya ialah “Allah”. Bila telah tertulis, maka barulah nyata “Allah” itu. Di mana nyatanya ? Nyata-Nya pada “Hakikat Wahidiah al Makbud”. Kenapa ? Kerana hanya “Allah” yang mengetahuinya sebab nama ini belum dizahirkan pada makhluk. (Pada peringkat yang sebelumnya, segala-galanyanya adalah kelu kerana “Hakikat Pencipta” belum menzahirkan nama “Allah” itu).

Bila NAMA sudah ada, maka nyatalah SIFAT, nyatalah PERBUATAN dan nyatalah ZAT milik HAKIKAT PENCIPTA yang sudah bernama “Allah” itu ! Bila yang nyata itu “ALLAH”, maka “Allah” yang ternyata itu, tidak lain adalah HAKIKAT PENCIPTA itu juga ! “Allah” hanya nama yang telah “ditulis” untuk mengenal HAKIKAT PENCIPTA !

RENUNGAN BUAT MAKHLUK

Allah itu nama, tapi nama yang tidak lain dan tidak bukan, menyatakan hal HAKIKAT PENCIPTA. Bila sebut “Allah” tidak ada maksud yang lain melainkan bermaksud HAKIKAT PENCIPTA atau “Hakikat Yang Disembah”.

Sebelum “Hakikat Pencipta” itu mempunyai nama, bagaimana makhluk boleh mengenalinya? Tak boleh kenal! Tak boleh nak difikirkan, tak boleh disebut dan tak boleh dinyatakan langsung !

Perkataan “Allah” itu hanya sekadar suatu Nama yang dinamakan di dalam Kitab al-Quran yang Zahir dan Batin, oleh HAKIKAT PENCIPTA itu sendiri dan digunakan oleh penganut agama Islam, sekadar untuk megenal atau untuk membicarakan hal diri HAKIKAT PENCIPTA. Jika tiada nama, bagaimana makhluk itu boleh membicarakan perihal HAKIKAT PENCIPTA ini? Tanpa nama, HAKIKAT PENCIPTA ini tidak dapat dikenali dan hanya berada dalam alam Ahadiah-Nya yang senyap-sunyi tanpa dikenali melainkan oleh Diri HAKIKAT PENCIPTA itu sendiri.

Untuk membolehkan “Allah” itu dikenali makhluk, maka perkataan “Allah” itu digantinamakan oleh HAKIKAT PENCIPTA sebagai “DIA” (Hu). “ Qul Hu w-Allah-u Ahad” (Katakan DIA Allah Maha Esa) Quran 112:1

Bila “Allah” itu digantinamakan dengan “DIA” barulah “Allah” itu dapat dikenali. Baru perkataan “Allah” itu dapat difikirkan. Baru lidah boleh menyebut!

Dia yang mana?

Pada agama Islam DIA yang bernama “Allah”. Pada Kristian DIA yang bernama “Jesus”. Pada Hindu, DIA yang bernama “Brahma”. Pada Sikh, DIA yang bernama “Ikr Ongkar”. Pada Yahudi DIA yang bernama “Yahweh”. Pada Shinto, DIA yang bernama “Khami”. Pada Zoroaster, DIA yang bernama “Ahura-Mazda”. Pada Kaharingan, DIA yang bernama “Ranying”. Pada Greek, DIA yang bernama “Zeus”. Pada Roman DIA yang bernama “Jupiter”. Pada Apache DIA yang bernama “Manitou” dan pelbagai nama DIA lagi !

Nama DIA itu telah membolehkan “Ain Zat” (Diri Zat) dikenali oleh seluruh makhlukNya mengikut ilmu, bahasa, kepercayaan, bangsa, tempat dan budaya yang berkaitan. Barulah “Ain Zat” yang sebelumnya tersembunyi, dapat dikenali, kerana namaNya ada !

DIA inilah Tuhan yang menciptakan Muhammad !

Muhammad yang mana ?

Muhammad yang telah diciptakan oleh HAKIKAT PENCIPTA sewaktu di dalam Hakikat Wahdahtul Makbub (Wahdah).


Muhammad inilah CIPTAAN PERTAMA !


Muhammad inilah“DNA BENIH” atau “NUR” yang menumbuhkan segala sesuatu! Muhammad inilah yang tadinya diibaratkan IDEA yang belum dizahirkan di atas kertas. Muhammad inilah “Cahaya di dalam Cahaya” yang menzahirkan HAKIKAT PENCIPTA.

“Muhammad” inilah yang dibisikkan oleh Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w kepada isterinya saydatina Aishah sebelum para malaikat menjemputnya pulang ke rahmatullah pada hari kewafawafatan baginda.

Muhammad inilah yang ada diceritakan di dalam setiap agama Abrahamic/Ibrahimiyah. (Islam, Kristian dan Yahudi). Muhammad inilah yang dikenali dalam semua agama.

Latin memanggilnya Mahometus, Greek memanggilnya Moameth, Rome memanggilnya Maometto, Portugis memanggilnya Maome, Russia memanggilnya Mukhammad, Catalan memanggilnya Mahoma, Galician memanggilnya Mamede, Polish memanggilnya Mahomet, Afrika memanggilnya Mamadou dan Cina memanggilnya Muhanmode.

Muhammad inilah hakikat Shiddiq (Benar). Yang tidak pernah mendustakan diri-Nya. Hanya diriNya sendiri yang tahu akan Kebenaran segala sesuatu.

Muhammad inilah hakikat Amanah (Dipercayai). Yang tidak pernah mengkhianat diri-Nya. Hanya diriNya sendiri yang tahu akan kepercayaanNya terhadap segala sesuatu.

Muhammad inilah hakikat Tabligh (Menyampaikan). Yang tidak pernah menyembunyikan segala sesuatu dari diriNya. Hanya diriNya sendiri yang tahu akan hakikat apa yang ingin disampaikanNya.

Muhammad inilah hakikat Fatonah (Bijaksana). Yang diriNya TIDAK Bodoh! Hanya diriNya sendiri yang tahu akan KebijaksanaanNya terhadap segala sesuatu.

Muhammad inilah yang menzahirkan HAKIKAT PENCIPTA Yang Maha Esa! (Ahad)

Muhammad inilah yang dimaksudkan oleh kata-kata terakhir Nabi Muhammad s.a.w di saat kawafatan baginda : “Allahumma Rafiqul Aq’la” : “Kembalilah aku kepada Teman Yang Maha Tinggi” !

Maka jika ditanya soalan :

Di mana dan kemanakah Muhammad ? Di manakah ilmu? Di manakah laduni? Di manakah kasyaf? Mana alam saghir? Mana nafi? Mana isbat? Mana fana? Mana baqo? Mana Roh al-Qudus? Mana zikir? Mana dalil? Mana makrifat? Mana Arifbillah? Mana huruf? Mana Jim ? Mana Alif ? Mana Roh? Mana Jasad? Mana makhluk ? Mana, Siapa, Apa, Kenapa, Bagaimana....


Jawapannya …


“Allahumma Rafiqul Aq’la” ! ‘Segalanya Kembali Kepada Teman Yang Maha Tinggi’ !! 


Kelu Lidah Untuk Berkata...
Dungu Akal Untuk Berfikir...
Buta Mata Untuk Melihat...
Tuli Telinga Untuk Mendengar...
Tiada Bau Untuk Menghidu...
Kebas Kulit Untuk Merasa...
Tiada Roh Untuk Hidup !!

Selagi Masih Belum Kelu, Tandanya Masih Terlihat Diri !!

(PERHATIAN : Perkataan-perkataan yang digunakan di dalam nukilan ini adalah sekadar kata-kata kiasan bagi memudah faham sahaja. Bukan niat untuk membandingkan atau menyamakan Allah dengan sesuatu. Allah itu Maha Suci dari segala perumpamaan )





~SPP~