Petua Menjaga Kesihatan Di Zaman Rasulullah s.a.w.
1. Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Madinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Madinah.
2. Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, “Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?” Nabi menjawab “Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib.” Tabib bertanya lagi, “Tetapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?” Nabi menjelaskan “Sebab penduduk Madinah tidak ada yang sakit.” Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, “Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit.” Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Madinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
3. Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Madinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
4. Didorong oleh perasaan ingin tahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, “Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Medinah sihat-sihat belaka?” Nabi menerangkan, “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu.”
Moral dan Iktibar
a. Petua untuk sihat adalah makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang.
b. Agama Islam suatu agama yang syumul Ia mencakupi bidang jasmani dan rohani.
c. Semua kata-kata Nabi adalah BENAR belaka dan tidak boleh dipertikaikan.
d. Berpegang kepada ajaran Nabi membawa keselamatan bukan saja di akhirat malahan di dunia juga.
e. Bertawakkal kepada Allah menjauhkan diri dari menyerahkan nasib kepada selain Allah.
f. Menyendatkan perut dengan pelbagai makanan yang banyak menyebabkan kesihatan terganggu dan mengurangkan kecerdasan otak dan jiwa.
g. Sebaliknya mengosongkan perut dengan amalan puasa boleh melahirkan ketajaman otak dan kejernihan jiwa.
h. Para Nabi dan orang-orang soleh memilih lapar di dunia supaya kenyang di akhirat.